Senin, 12 Oktober 2009

kekusaan menurut french roven

Nama :Mochammad Abrianto

Kelas : 3PA05

Npm : 10507290

KUASA PAKSAAN (COERCIVE POWER)


Juga dikenali sebagai kuasa dendaan. Kuasa ini bersifat negatif kerana biasa perubahan perlakuan seseorang itu bukan atas kehendaknya tetapi lebih kepada ancaman dan dendaan yang akan diberikan oleh pihak atasan bila ianya tidak diikuti. Kuasa yang wujud cara ini biasanya tidak akan kekal. Ia dikatakan sebagai kuasa kerana ia dapat mengawal pekerja melalui paksaan, dendaan, ancaman dan mungkin juga berbentuk ugutan. Antara bentuk dendaan dan hukuman yang dipraktikkan ialah seperti tidak memberi kenaikan pangkat, menahan kenaikan gaji, menamatkan tugas atau pemberhentian dengan laporan yang negatif.

Pemimpin yang menggunakan kuasa paksaan selalunya bergantung kepada kekuatan fizikal dan mental yang ada padanya, dan pemimpin yang mengamalkan kuasa ini tidak menghargai keupayaan sebenar yang ada pada kakitangannya. Secara amnya, subordinat akan mengikut arahan pemimpin semata-mata untuk mengelak daripada didenda oleh ketuanya. Maka segala kemahuan ketua akan dituruti. Walau bagaimanapun kuasa paksaan mendatangkan rasa tidak puas hati serta menimbulkan kemarahan para pekerja jika didenda dengan sebab yang tidak sepadan atau munasabah dan akhirnya akan menimbulkan konflik dalam organisasi. Seterusnya ia mampu memecahbelahkan organisasi di mana para pekerja dan pemimpin tidak sehaluan. Motivasi dan komitmen subordinat juga menurun jika kuasa paksaan dipraktikkan di dalam organisasi sebagai kuasa utama. Oleh kerana kuasa paksaan memberi pengukuhan negatif kepada orang bawahan, maka kuasa paksaan merupakan kuasa yang paling lemah untuk membuat kakitangan menurut perintah dan mempunyai hubungan negatif dengan keberkesanan.



KUASA INSENTIF (REWARD POWER)


Kuasa Ganjaran bermaksud seorang individu atau pentadbir yang mempunyai kelebihan untuk memberi ganjaran atau hadiah kepada kakitangan yang menurut arahannya. Kuasa ganjaran ini dianggap sebagai satu kuasa yang positif yang boleh menyebabkan perubahan dalam tingkahlaku dan perlakuan seseorang. Dengan kata lain ia merupakan pengukuhan positif. Namun kuasa ini ada had dan batasannya untuk membolehkan seseorang itu bertindakbalas darinya. Ia juga kuasa yang dapat mengawal pekerja melalui hadiah ganjaran bonus atau menjanjikan pelbagai bentuk insentif yang boleh membawa perubahan positif kepada para pekerja atau ahli-ahli dalam organisasi tersebut. Kadangkala berbentuk memberi tugas dan cabaran baru kepada seseorang yang menunjukkan prestasi kerja yang memuaskan dan baik di samping memberikan ganjaran atau hadiah sampingan.

Contohnya seorang pengetua boleh memberi kenaikan gaji kepada guru-guru bawahannya sekiranya mereka berkhidmat dengan cemerlang. Selain itu, dia juga dapat memberi beberapa keistimewaan tertentu kepada guru tersebut di sekolah. Pemimpin seperti ini dapat memberikan pengukuhan yang positif kepada para kakitangannya di mana mereka akan berusaha sebaik mungkin bukan sahaja untuk memperoleh ganjaran atau habuan yang telah dijanjikan tetapi untuk mencapai matlamat dan tanggungjawab seorang guru yang berdedikasi. Sekiranya, ganjaran itu tidak diberi atau janji pemimpin itu tidak ditunaikan kuasa pemimpin itu akan berkurang sedikit demi sedikit. Begitu juga rasa hormat pengikutnya turut berkurang terhadap pemimpin yang tidak mengotakan janjinya itu.

Kelemahan kuasa ganjaran ialah ia tidak dapat meningkatkan prestasi kerja kakitangan dalam situasi tertentu di mana mereka hanya bekerja dengan bersungguh-sungguh apabila dijanjikan dengan ganjaran tambahan atau hadiah selain dari gajinya yang diterima mereka pada setiap bulan. Sistem pendidikan di Malaysia juga mengamalkan sistem dalam organisasi di mana guru-guru yang cemerlang akan diberi anugerah dan diberi ganjaran sebanyak RM1000. Hal ini sedikit sebanyak dapat menaikkan semangat para guru untuk mendidik dengan lebih cemerlang.

KUASA SAH (LEGITIMATE POWER)


Kuasa yang sah timbul dari persepsi individu terhadap sesuatu arahan yang diberikan. Adakah arahan itu boleh diberikan oleh seseorang itu kepada orang bawahannya? Jika ianya dapat diterima maka kuasa ini menjadi satu kuasa yang sah dan tidak akan timbul masalah untuk mereka yang menerimanya melakukan arahan dan tugas yang diberikan itu. Ia terhasil akibat pelantikan seseorang dalam sesebuah organisasi. Kuasa yang ada pada seorang itu pula bergantung kepada kedudukannya dalam organisasi tersebut. Kuasa sah yang dimaksudkan di sini ialah kuasa rasmi yang diperoleh seseorang daripada autoriti pihak atasan melalui penyerahan kuasa yang memberikan ia sesuatu kedudukan dalam organisasi . Ia mendapat restu orang yang dipimpin bahawa ketua itu mempunyai hak yang sah untuk mempengaruhi mereka. Keadaan ini timbul dari nilai-nilai budaya, struktur sosial, ataupun kedudukan ketua

Misalnya seorang pengurus akan mempunyai kuasa yang lebih dari seorang pegawai eksekutifnya yang juga mempunyai kuasa melebihi seorang penyelia syarikat. Kuasa seperti ini membolehkan seorang pengurus itu menggunakannya untuk merancang strategi, mereka bentuk dan mengawal sistem maklumat dan seterusnya merangka polisi dan peraturan organisasi.. Contoh kedua ialah guru besar di mana beliau dilantik oleh kementerian pelajaran maka beliau mempunyai kuasa sah untuk mentadbir sekolah yang diberikan kepadanya dan para kakitangan di sekolah itu perlu patuh kepadanya kerana kedudukannya ialah di atas mereka dan dia dilantik dengan sah oleh pihak kementerian.

Kuasa sah dari segi budaya ialah pengiktirafan daripada pengikut disebabkan oleh pemimpin itu lebih veteran dan berkedudukan daripada pengikut dan mempunyai banyak pengalaman dalam aspek struktur sosial dari segi kesetiaannya terhadap organisasi itu. Kuasa sah merupakan asas yang penting untuk mendapatkan kepatuhan daripada kakitangan kerana pemimpin diiktiraf oleh kuasa yang lebih tinggi tetapi ini tidak menjanjikan keberkesanan organisasi.

KUASA PAKAR (EXPERT POWER)


Kuasa ini timbul apabila A mempunyai sumber dari segi kepakaran, kemahiran dan pengetahuan yang tinggi dari pandangan B. Maka apa yang diberikan dan diharapkan oleh A ke atas B akan dituruti dengan mudahnya. Kuasa pakar di peroleh oleh mereka yang mempunyai pengetahuan atau kemahiran dalam bidang-bidang tertentu contohnya guru matematik mahir dalam bidangnya dan kemungkinan besar tidak mahir dalam bidang lain seperti mata pelajaran geografi. Seseorang mungkin dikatakan mempunyai kuasa pakar apabila dia mengetahui secara mendalam tentang sesuatu perkara atau bidang yang diceburi dan amat sukar ditandingi oleh orang lain. Kebiasaannya pendapat mereka ini didengar dalam satu tindakan yang berkaitan dengan bidang yang memang merupakan kepakarannya. Pentadbir mempunyai kuasa kepakaran apabila mereka faham bagaimana hendak mengajar tau bagaimana untuk mengendalikan masalah-masalah yang dihadapi oleh guru-guru. Seorang pentadbir atau pemimpin yang tidak memahami dan menggunakan bentuk-bentuk kuasa ini dan juga kuasa pejabat sah akan hanya menikmati kawasan pengaruh yang terhad.

Kuasa kepakaran ini wujud dalam dua keadaan mengikut tugas rasmi yang dijalankan oleh seorang itu. Ia menjadi kuasa pakar seorang pengurus yang dapat menggunakan minda, idea, pengetahuan dan kemahirannya dalam memastikan setiap subordinatnya mengikuti dan melaksanakan tugas- tugas yang telah dipertanggungjawabkan kepadanya. Kuasa yang sama juga boleh didapati pada subordinat yang tanpanya boleh menjejaskan perjalanan dan operasi pengeluaran organisasi secara umumnya. Seseorang pemimpin yang memiliki kuasa pakar yang tinggi dalam sesuatu bidang dijangka akan memudahkan pekerjaan orang lain kerana dia mempunyai pengetahuan yang tinggi dalam bidang itu. Oleh itu, para pengikut mudah untuk memberikan kerjasama dengannya dan meminta pendapatnya dalam pekerjaan mereka. Selain itu, suasana kerja yang sihat dapat diwujudkan melalui kuasa ini kerana pengikut mengiktiraf pemimpin kerana kelebihan yang ada padanya dan menjadikan pemimpinnya sebagai rujukan utama.

KUASA RUJUKAN (REFERENT POWER)

Kuasa rujukan adalah sama dengan karisma di mana ia merujuk kepada kebolehan seseorang ketua untuk menggalakkan penggabungan atau penglibatan daripada pengikut-pengikutnya dan lebih kepada kebolehan untuk mempengaruhi orang lain melalui ciri-ciri perlakuan yang ada padanya. Sikap dan kebolehan ini boleh menghasilkan pelbagai tanggapan dan juga dalam kebanyakan hal menyelesaikan masalah. Kuasa ini datang dari perasaan dan keinginan pengikut mengenal pasti orang yang lebih berkuasa tanpa mengira kesan positif atau negatif. Karisma pemimpin menjadi asas kepada kuasa sah dan kuasa rujukan. Namun ia bergantung kepada ahli kumpulan yang sanggup menerima, mengenal pasti dan setuju kepada ciri-ciri yang ditunjukkan.

Pemimpin dijadikan sebagai rujukan atau contoh kepada pengikut kerana mempunyai kualiti, karisma dan reputasi yang baik. Apabila dikaitkan dengan karisma, Weber menyatakan ia bukannya bersifat ketuhanan tetapi kualiti luar biasa pada sifatnya yang dipenuhi dengan tenaga, keyakinan, wawasan masyarakat akan datang. Karisma memainkan peranan yang sedikit dengan unsur-unsur kecantikan dan kegagahan fizikal.
Beribu-ribu tahun dahulu, manusia percaya pada tuhan-tuhan dan dewa-dewa. Tetapi tidak ramai daripada mereka yang pernah melihat secara fizikal bagaimana dewa-dewa itu berkuasa. Justeru itu, ada lelaki yang seakan-akan memiliki kuasa tuhan berkata-kata dengan kepetahan lidah, wawasan yang tinggi dan aura yang menebal dan lelaki itu berdiri seperti seorang Tuhan. Apabila nabi-nabi diturunkan oleh Tuhan untuk kaum-kaumnya, mereka dianggap sebagai orang yang berkarisma. Kuasa rujukan Jesus Chris jelas lebih tersohor kerana beliau bukan sahaja menyeru kepada satu-satu bangsa, tetapi seluruh himpunan manusia. Hal ini kerana beliau mempunyai karisma. Oleh itu, karisma memang penuh dengan misteri atas dua sebab. Pertama, sifat misteri itu dipanggil karisma dan kedua orang yang memiliki karisma sengaja menjadikannya misteri. Benarlah satu pepatah Arab, Apabila diketahui sebab-sebabnya, maka terbatallah keajaibanâ. Dalam konteks ini, pengikut sentiasa ingin mengaitkan dirinya kepada pemimpinnya kerana dia amat menghormati pemimpin itu. Oleh itu, kuasa rujukan merupakan kuasa kedua terpenting bersama-sama kuasa ganjaran untuk pengikut patuh pada arahan seseorang pemimpin.

Kuasa rujukan wajar dipraktikkan di sekolah-sekolah di Malaysia kerana suasana kerja yang sihat akan terhasil dengan menggunakan kuasa ini. Para kakitangan akan mencontohi pemimpin mereka contohnya seorang pengetua itu selalu datang awal ke sekolah maka guru-guru akan mencontohinya untuk datang awal ke sekolah. Dalam kata lain ketua mereka merupakan idola dan role model kepada mereka. Maka mereka akan menghormati ketua mereka. Namun amat jarang kita menemui pemimpin yang mempunyai kuasa ini.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar